Monday 6 April 2009

.:Mentauhidkan Allah:.

“katakanlah: Dia-lah Allah yang Maha Esa
Allah tempat bergantung segala sesuatu
Dia tiada beranak dan tiada pula diberanakkan
Dan tiada seorang pun yang setara dengan Dia.”
Surah Al-Ikhlas (surah ke-112)
1. Allah memerintahkan manusia supaya beriman kepada Tuhan yang satu sahaja, iaitu Tuhan Yang Esa, Yang Tunggal, tidak dua,tidak tiga,tidak banyak. Tuhan Yang Satu ini tidak berkahwin, tidak mempunyai isteri, tidak mempunyai bapa, dan tidak beranak atau diberanakkan. Kalau dia mempunyai isteri, atau ibu atau bapa, dan beranak atau diberanakkan, bukan Allahlah Dia, tetapi makhluk yang diciptakan Allah. Dialah yang menciptakan manusia dan segala makhluk lain yang ada di seluruh alam ini. Kalau di dunia atau alam ini banyak tuhan, dunia dan alam ini tidaklah satu seperti yang kita lihat sekarang, dan peraturan atau Sunnatullah di seluruh alam ini tentunya tidak juga satu dan tidak sama tetapi banyak dan pelbagai, kerana tuhan yang banyak itu tentulah mempunyai alam,makhluk dan peraturan alam yang tidak sama tetapi berbeza-beza menurut kehendak dan hukum tuhan yang berlainan itu.

2. Tuhan Yang Satu tidak bergantung kepada sesiapa. Segala makhluk yang diciptakanNya yang bergantung kepadaNya. Dia tidak lapar dan tidak meminta apa-apa daripada makhlukNya. Makanya manusia tak perlulah menyediakan dan menjamu makanan untuk Allah, kerana Tuhan Yang Maha Mencipta ini ialah Tuhan Yang Maha Kaya. Dialah pemberi rezeki kepada semua makhlukNya. Seluruh alam ini adalah milik kekayaanNya,segala apa yang ada di bumi dan langit adalah hartaNya. Kita sebagai makhluk ciptaanNya yang bergantung kepadaNya. Kalau tidak ada air, kita mati. Tidak ada udara, mati kita. Cahaya mentari tiada, mati juga kita. Tetapi Allah tidak mati, tidak boleh ditikam, disula, disalib dan dibunuh. Dia hidup sejak azali dan selama-lamanya. Dialah Yang Hayyu Qayyum.

3. Hubungan antara manusia dengan Allah adalah hubungan yang langsung. Tidak ada orang tengah. Dalam sebuah Hadis, Allah berfirman yang bermaksud: “Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Ku”. Perkataan “sangkaan” bererti keyakinan dan kepercayaan. Hanya doa yang datang dari hati yang yakin sepenuhnya sahaja yang akan dikabuli Allah. Doa daripada hati yang waswas, yang ragu, yang tidak yakin, tidak akan kabul~wallahua’lam. Ini bererti bahawa yang diperhatikan Allah bukan hati orang lain-apatah lagi makhluk yang tidak punya hati atau qalbu seperti batu dan pokok atau haiwan- tetapi ialah hati orang yang berdoa kepadaNya secara langsung. Kita tidak tahu sama ada hati orang yang berdoa itu ikhlas atau tidak. Yang tahu tentang kehendak hati kita tentulah diri atau hati kita sendiri, bukan hati orang lain. Inilah nilai doa orang Islam.

4. Sebenarnya manusia tidak dilahirkan ke dunia bebas daripada segala peraturan. Kalau kita berfikir berdasarkan Islam, manusia mempunya ‘kontrak’ atau ‘kovenan’ hanya dengan Tuhan. Isi perjanjiannya adalah bahawa manusia bersetuju untuk menyembah hanya Tuhan Yang Satu, Tuhan yang menciptakan manusia itu.Tuhan berfirman bahawa tidak Dia ciptakan manusia dan jin selain untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya. Segala-gala yang wujud di alam ini sujud dan bertasbih kepada Allah dengan cara tersendiri. Yang penting dalam Islam ialah manusia hanya hamba kepada Allah sahaja, tidak kepada makhluk lain.

5. Kesimpulannya ialah, konsep tauhid mendasari seluruh keimanan, kepercayaan, perbuatan dan nilai manusia Islam. Konsep ini berdasarkan kebenaran wahyu daripada Allah yang menyifatkan Diri-Nya sebagai Allah Yang Satu, yang tidak diciptakan oleh apa-apa yang lain selain Dia. Inilah makna Allah yang hakiki, datangnya daripada Allah sendiri, bukan diciptakan atau direka oleh manusia.

6. Jadi kalau orang daripada apa-apa agama pun mahu menggunakan Allah untuk menggunakan nama lain, misalnya, ‘dewa’, ‘dewi’, apa salahnya asalkan mereka menerima kebenaran bahawa itulah Allah. Lebih baik lagi jikalau mereka mengubah kepercayaan mereka daripada konsep ‘non-tauhidik’ kepada tauhidik dan tidak menganggap bahawa Allah ialah anak Tuhan atau ‘bapa manusia’, atau Tuhan itu banyak dan boleh beranak pinak,boleh mati hidup semula, boleh jatuh sakit, lalu mati. Tetapi perubahan akidah ini tidak cukup kalau ia hanya berlaku pada peringkat konseptual atau teori atau pemikiran falsafah sahaja tetapi hendaklah disertai dengan kepercayaan atau keyakinan dalam hati dan diikuti dengan amalan yang sesuai dengan akidah tauhid itu.

7. Jadi,sesiapa pun boleh menggunakan perkataan atau nama Allah, tidak semestinya orang Islam sahaja. Soalnya ialah; apakah yang mereka maksudkan dan faham tentang Allah itu, dan adakah amalan mereka bertentangan dengan sifat Allah sebagai Tuhan Yang SATU dan tidak berjasad, dan apakah yang mereka sembah: ALLAH atau MAKHLUK Allah?
Wallahua’lam…

2 comments:

  1. fuuuu.....(wat ombak,wat ombak....haha)

    cayala sri. harap2 semua wartawan akan ikut jejak sri pasni. amiiiiiiin....hik3....

    ReplyDelete
  2. semoga hidup kita snantiasa mdapat rahmat limpahan barakahNya~aameeein...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

QUNChi?

agama (49) al quran (18) arab (21) artis (49) bahasa (32) blog (23) bollywood (17) ceghita dia (38) doa (14) donia (61) drama (31) ekonomi (26) fashion (17) Food (1) Formula One (32) hadith (12) hollywood (42) horor (13) humor (28) indonesia (50) israel (13) JJCM (5) kahwin (31) Ke Luar Jendela (32) komunis (6) malaysia (148) medic (25) mind n soul (149) motivasi (25) motokar (32) movie (82) myself (77) palestin (10) politic (59) proton (20) puisi (48) radio (9) resepi (7) Rothschild (5) sejarah pemikiran (24) student (96) swedish (3) US (39) vampire (6) zodiac (5)