Adalah menjadi kebiasaan Perdana Menteri Malaysia dari UMNO untuk mentadbir negara dengan slogan. Bermula dengan "Bersih, Cekap dan Amanah" oleh Mahathir Mohamad, disusuli dengan "Work with me, not for me" oleh Abdullah Ahmad Badawi, dan kini "Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" oleh Najib Razak. Slogan ini dilaungkan pada tempoh awal mereka mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan.
Tempoh pemerintahan Mahathir lebih panjang. Selain "Bersih, Cekap dan Amanah", dekad kedua pemerintahan beliau menyajikan satu lagi slogan, iaitu "Wawasan 2020". Oleh sebab wawasan ini melakar masa depan Malaysia yang bertunggakkan pembangunan ekonomi, ditambah pula situasi di mana kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di atas paras 8% setiap tahun sebelum kemelut ekonomi tahun 1997, maka "Wawasan 2020" telah menjadi buah mulut media - sehingga mewujudkan satu suasana untuk maju ke depan - dan "Bersih, Cekap dan Amanah" dilupakan begitu sahaja.
Sebagaimana yang sedia maklum, slogan semestinya lebih sedap diperdengarkan - ia bukan slogan seandainya tidak bersifat demikian. Slogan yang direka dengan halus biasanya sedap bunyinya - namun sering menerima tamparan sengit daripada realiti yang membingitkan. Misalnya, sementara slogan "Bersih, Cekap dan Amanah" berkumandang di sisi telinga, skandal kewangan datang berpusu-pusu - skandal Bumiputra Malaysia Finance, MAMINCO, KWSP dan Makuwasa, Pan-Electric Industries, koperasi dan sebagainya. Malah, berlakunya pembunuhan pegawai penyiasat di Hong Kong - mayatnya ditemui di pantai - ketika menyiasat skandal Bumiputra Malaysia Finance.
Saya tidak mengkaji sama ada slogan Mahathir dan Abdullah itu hasil kerja think-tank-nya selepas meneliti senario yang ada pada ketika itu, ataupun hasil kerja syarikat perunding yang dibayar dengan upah yang tinggi. Seingat saya tiada laporan dan perbincangan dalam aspek ini.
Namun, "Satu Malaysia" oleh Najib telah diperlihatkan umum sebagai hasil daripada syarikat perunding. Lebih malang, ia dikatakan meniru slogan "One Israel", produk daripada syarikat perunding. Lantas kesesuaiannya dipertikaikan kerana ia adalah produk tiruan dari negara lain, malah slogan ini memperlihatkan kekosongan dalam maknanya, dan saling bertentangan.
Pertama, seandainya "1Malaysia "dikatakan sebagai wawasan untuk menyatu-padukan seluruh rakyat, persoalan yang timbul adalah, apakah kita berada dalam keadaan berpecah belah sejak mencapai kemerdekaan? Keduanya, seandainya "1Malaysia" bertujuan untuk menghapuskan perbezaan antara kaum, apakah ia versi moden "Satu bangsa, Satu bahasa"? Seterusnya, jikalau "1Malaysia" adalah untuk menghapuskan perbezaan layanan di antara kaum, maka apakah dasar yang telah digubal kerajaan untuk tujuan tersebut?
Najib gagal merungkaikan 1Malaysia













