Sri dengar ada orang UMNO yang bertanya,”Mengapa UMNO nak bersatu dengan PAS?”. Penyokong PAS soalan yang sama juga ditimbulkan, “Perlukah PAS bersatu dengan UMNO?”.
Kedua-dua parti ini telah berjuang bermati-matian dalam pilihan raya umum yang lepas, dan selepas itu perang mulut antara mereka bersambung semula. Tak ada tanda reda dan tak ada pula usaha untuk berdamai antara keduanya. Tiba-tiba kedua-dua parti politik ini cuba hendak bersatu. (Bersatu dan berdamai tak sama ertinya, Ok!)
Tak jelas sebenarnya siapa yang hendak bersatu. Dalam drama ini kita saksikan drama ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Tapi tak jelas siapa yang hidungnya tak mancung dan pipinya tersorong-sorong. Bukan ke UMNO dan PAS pernah bersatu dalam zaman Tun Abdul Razak dahulu, kemudian bercerai talak tiga? Dan usaha untuk rujuk semula sememangnya tampak gagal sejak awal lagi, sebelum perundingan atau dialog bermula lagi.
Daripada perbualan Sri dengan beberapa teman dari UMNO dan tak kurang juga dari penyokong PAS, dapat disimpulkan tiga teori mengapa usaha ini sejak awal lagi gagal.
.:Pertama, pihak pro-UMNO menuduh PAS menggagalkan usaha itu dengan meletakkan beberapa syarat yang tak dapat diterima oleh UMNO.
.:Kedua, pihak pro-PAS berkata PAS menaruh syak wasangka bahawa kesediaan UMNO untuk berdialog dengan PAS tentang soal perpaduan Melayu merupakan ‘jerat’ UMNO untuk melemahkan pengaruh atau daya tarik PAS sebagai parti pembangkang atau parti alternatif kepada UMNO.
.:Ketiga, PAS mungkin berasa yakin dengan kedudukan dan pengaruhnya khusunya dalam kalangan orang Melayu-Islam – begitu yakin sekali sehingga mampu meletakkan syarat-syarat itu, kalau bersetuju, perundingan boleh dimulakan, kalau tak, lupakan saja usaha ini. Wallahualam~