Sunday, 13 February 2011

Petunjuk dari kebangkitan di Mesir

Oleh Mujahid Yusof

Saya tidak berapa perasan mulanya berlaku kebangkitan rakyat di Tunisia. Ketika saya berada di Melaka pada 15 January lalu saya bertemu dengan seorang guru lelaki dari Mesir yang mengajar di Sekolah Islam Ar Rahmah Solok Gaung. Isterinya orang Malaysia dari Terengganu.

Sebenarnya pagi itu setelah kuliah Subuh di Bukit Katil saya diajak oleh Hj Mat Diah pengasas sekolah untuk meninjau-ninjau perkembangan pembangunan sekolah sambil mempelawa sarapan pagi di rumahnya. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan sekolah Ar Rahmah kerana anak-anak saya adalah bekas penuntut di situ dari sekolah rendah lagi.

Semasa bertemu dengan lelaki Arab dari Mesir itu beliau kelihatan gembira kerana saya boleh bertutor Bahasa Arab , antara respon awal pertemuan tersebut ialah dia menceritakan dengan penuh semangat tentang kebangkita rakyat di Tunisia hanya kerana seorang penganggur yang berijazah telah membakar dirinya kerana kecewa dengan sistem korup pemerintahan Ben Ali di Tunis.

Katanya lagi dalam bahasa arab pekatnya, Mesir sedang menanti saat kebangkitan dalam masa beberapa hari menurut apa yang didapatinya dari jaringan Internet. Sememangnya pagi itu dalam dada akhbar terpampang berita kejatuhan Ben Ali yang bersiap sedia untuk meninggalkan Tunisia.

Selang beberapa hari berita tentang kebangkitan Mesir pula menyusul dan hari ini, kebangkitan dua negara Arab di benua Afrika Utara itu menguasai ruang pemberitaan seluruh dunia.
Tidak kurang peristiwa kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia membawa mesej berambus kepada pemimpin kuku besi lain di negara Arab sehingga isyaratnya menggetarkan pemimpin-pemimpin diktator sampai ke tulang sum-sum mereka.

DEMOKRASI UNTUK SIAPA?

Pengamatan saya kepada perkembangan negara Arab Afrika Utara bukanlah hari ini sahaja, seblum itu saya mengikutinya sejak 80an apabila usaha untuk membawa demokrasi bermula di Algeria dan Tunisia. Malangnya usaha mengadakan pilihanraya bebas peringkat perbandaran dan parlimen bukan membuka demokrasi tetapi menjadi alasan untuk menutup pintu kebebasan.

Alasannya cukup tidak munasabah, iaitu kerana FIS (Front Islamic Salvation) dan Parti An Nahdah (Awakening Party) menang besar dalam pilihanraya tersebut!

Sepatutnya kemenangan secara demokratik yang belum pernah dirasai sebelum ini diraikan dengan bunga dan tarian kemenangan, namun pada ketika itu kemenangan disambut dengan kereta kebal dan muncung M16 dihalakan kepada pemenangnya. Rakyat menjadi keliru, apakah ini yang mereka mahu ataukah kekal dalam keadaan tiada kebebasan.

Algeria dan Tunisia menjadi huru-hara. demokrasi dirompak semula oleh bandit penguasa demi ‘memelihara keamanan.’ Hasilnya amatlah memilukan kepada siapa sahaja yang rindukan kebebasan kerana pertumpahan darah berlaku sebagai reaksi pencabulan demokrasi dan pemimpin besar seperti Dr Abbas Madani, Dr Mahfuz Nahnah dipenjara manakala di Tunisia Dr Rashid Al Ghanoushi di buang negeri dan menjadi pelarian selama 22 tahun di UK.

Apakah semua ini harga kebebasan? Barat menjadi bisu dengan kemenangan puak Islam secara demokratik malah Perancis yang menjadi kiblat Tunisia dan Aljeria membiarkan bandit-bandit pemerintah menyiksa rakyat yang mahukan kebebasan. Akhirnya keganasan puak menjadi norma kehidupan dan puak Islam selagi lagi disalahkan. Memang sukar untuk Gerakan Islam bergerak dalam permainan Barat, kerana akan berada dalam dilema.

Apabila menyertai demokrasi dan menang Gerakan Islam akan dinafikan haknya kerana bimbang negara akan jadi huru-hara. Apabila tiada demokrasi, penindasan diteruskan kononnya untuk menghapuskan teroris dan radikal yang menggugat keselamatan negara!

Mesir sudah lama menderita kerana undang-undang darurat dilaksanakan sejak 1967. Undang-undang kejam itu berterusan hingga kini di atas alasan memerangi keganasan . Apa yang berlaku ialah memerangi Gerakan Islam yang mahukan sedikit ruang untuk bernafas dan Gerakan Sivil yang mahukan suara mereka diiktirafi. Perjalanan sukar demokrasi di negara Arab membingungkan dunia sehingga kita tidak dapat elak untuk bertanya demokrasi untuk siapa sebenarnya?

AZAM RAKYAT

Azam tidak dapat dijual beli dengan harta dan wang ringgit, ia juga tidak dapat dilemahkan dengan kezaliman diktator, apatah lagi azam itu digabungkan dengan kuasa rakyat. Formula Azam+Rakyat melahirkan satu dentuman yang kuat kepada diktator sehingga melutut ia tanda kalah dalam kehinaan. Apa yang disaksikan di Tunisia dan Mesir adalah kebangkitan rakyat berbentuk azam yang tidak dapat dihalang lagi.

Al Jazeera mensifatkannya sebagai tembok ketakutan yang telah diruntuhkan! Seorang yang menyaksikan hari kebangkitan di Mesir mensifatkan “buat pertama kali dalam sejarah, bilangan kami (rakyat) melebihi bilangan polis rusuhan dan mereka tidak dapat menghalang kami lagi”

Pada 25 Jan 2011 Dataran Kebebasan atau Tahrir Square menjadi tumpuan di mana beribu-ribu rakyat Mesir turun untuk berkumpul sehingga 26 Jan dan seterusnya Tahrir menampung perhimpunan hampir sejuta umat bagi menyampaikan satu mesej “Berambus Mubarak” “Cukuplah 30 tahun”.

Azam mereka tinggi sehingga mereka berjanji tidak akan berganjak selagi Mubarak tidak undur. Perhimpunan itu member tekanan kepada Mubarak lalu beliau cuba mengambil tindakan-tindakan yang diharapkan dapat menenangkan rakyat namun malang bagi Mubarak setiap rancangannya tidak memberi kesan kepada rakyat untuk meneruskan protes.

Walaupun Mubarak memberi janji untuk tidak bertanding lagi jawatan Presiden dan berjanji untuk letak jawatan pada bulan September, seorang wanita mengatakan “kami telah memberikannya 30 tahun dan sekarang dia ada hati meminta kami lagi 6 bulan!” Pengumuman Mubarak disambut dengan cacian dan cemuhan oleh rakyat yang berhimpun di Tahrir Square. Azam mereka umpama gunung berapi yang tidak henti-hentii memuntahkan laharnya.

KEBANGKITAN NASIONAL

Kalau dahulu yang berkumpul hanya di sekitar beratus orang sahaja kali ini perkumpulan tidak lebih dari puluhan ribu manusia. Kalau dahulu perhimpunan hanya melibatkan kumpulan tertentu yang mendesak sesuatu, seperti perhimpunan Ikhwan, tetapi kini semua jenis manusia berkumpul tanpa mengira usia tua atau muda, kumpulan politik atau orang biasa, lelaki dan wanita.

Perhimpunan berbagai bentuk latarbelakang ini menghimpun berbagai spektrum pemikiran dari gerakan sivil, gerakan Islam dan golongan liberal. Kali ini ia bukan kebangkitan Ikhwanul Muslimin seperti lazimnya malah rakyat yang berhimpun menafikan Ikhwan yang menjadi dalang utamanya, mereka mengatakan ini adalah Kebangkitan Semua, Kami Cintakan Mesir, Kami Benci Pengkhianat.

Lazimnya kedengaran dalam perhimpunan Gerakan Islam memprotes dengan slogan “Hidup Islam”, “Hancur Taghut” atau mereka melaungkan “Daulah,Daulah Islamiyah!” Tapi seruan itu tidak kedengaran malah bendera dan panji Ikhwan juga tidak kelihatan. Aura suasana ialah kebangkitan nasional di mana bendera Mesir diarak dan dikibarkan, slogan “hidup Mesir” “kami mempertahankan maruah Mesir” seolah-olah menenggelamkan selama ini slogan Islam yang menguasai jalanraya di kota Kaherah dan kota-kota besar yang lain di Mesir.

Apa maknanya semua ini? Para penganalisis menyebutnya sebagai ‘unprecented in the history of modern Egypt’. Mereka menamakannya sebagai Kebangkitan Rakyat bersifat Nasional yang bosan dengan kengkangan dan kawalan ketat kepada naluri kebebasan rakyat Mesir.

KEBANGKITAN PRO DEMOKRASI

Kedengaran dalam semua komentar istilah pro-demokrasi malah kebangkitan kedua hari ini 8hb Jan digelar sebagai perhimpunan pro- demokrasi. Istilah-istilah ini ada implikasinya bahawa ia kebangkitan kebebasan dari pengawalan ketat media, kebebasan bersuara, pilihanraya yang penuh penipuan dan keganasan polis. Perasaan dan naluri mempertahankan maruah diri dan kemuliaan negara bercampuraduk dalam semangat kebangkitan menentang pemimpin yang dilihat sebagai kuku besi dan pentingkan diri dan kroninya.

Kebangkitan ini umpama kebangkitan rakyat ketika jatuhnya regim komunis di Eropah Timur yang tertindas dalam negara polis dan cengkaman pemimpin. Malah kezaliman selama 30 tahun pemerintahan Mubarak menjemput semua golongan termasuk Liberal Sekular, Golongan Kiri dan Golongan Nassariyin. Semuanya menamakan diri mereka pro demokrasi dengan satu matlamat untuk menggulingkan Mubarak.

Malah ada teori yang mengatakan golongan Islamis dari Ikhwan lambat bertindak apabila seruan 25 Jan dihebahkan melalui jaringan sosial, Ikhwan tidak respons tetapi setelah beberapa hari golongan pro demokrasi berjaya mengumpulkan orang ramai, barulah Ikhwan menguasai keadaan.

Walaupun demikian tidak dapat dielakkan tanggapan bahawa sememangnya Ikhwan sudah sekian lama menentang kezaliman regim dan tidak pelik ia mendapat kejutan bahawa perjuangannya turut disertai oleh penentang senyap selama ini dari arus pemikiran yang lain.

SUASANA ALIRAN PEMIKIRAN MESIR

Uniknya Mesir ialah ia mempunyai populasi yang besar sebanyak 79 juta penduduk dan menyumbang kepada tenaga intelektual dan buruh kasar di kebanyakkan negara kaya Arab di Teluk.

Ia sebuah negara moden walaupun Al Azhar merupakan Universiti Islam tertua dunia. Mesir juga adalah pusat intelektual dalam dunia Arab kerana sikap keterbukaannya menerima pandangan-pandangan dari berbagai aliran walaupun tertutup dari sudut aktiviti politiknya.

Mesir juga terkenal sikap sekularnya yang pekat dan terang-terang menyebut bahawa agama dan negara tidak boleh bercampur aduk. Pertembungan pemikiran juga hebat belaku di Mesir sejak awal kurun ke 20 lagi. Pandangan Sheikh Mohammad Abduh dan anak muridnya Syeikh Rashid Redha mendapat tempat yang tinggi dalam kajian pemikiran politik Islam modern.

Begitu juga pandangan yang dianggap sesat oleh fatwa Azhar oleh Syeikh Ali Abdul Razziq yang mengatakan tiada pemerintahan dalam Islam.

Pandangan Liberal Barat Dr. Taha Husin yang kagum dengan Barat menambahkan lagi rencam dan ragam aliran pemikiran di Mesir. Paling menarik ialah Mesir adalah tempat lahir Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al Banna pada tahun 1928 yang kini menpunyai pengaruh dan pengikut seluruh dunia.

Kalau di sini kita berdebat tentang Islam Liberal dan Islam Fundamental, mahupun polemik Terrorism, maka sumber inteleknya dalam kita berhujah datang dari pemuka-pemuka yang disebut di atas dari Mesir. Begitulah hebatnya sumbangan aliran pemikiran yang berpunca dari Mesir.

Walaupun selama ini golongan Sekular Liberal dianggap pro Mubarak dan regim kerana bersetuju dengan sikap Liberal agama yang diamalkan oleh Kerajaan Mesir. Apatah lagi regim Mesir sejak Gamal Abdul Nasir senantiasa menjadikan golongan Islamis dari Ikhwan sebagai alasan mengancam keselamatan nasional. Pertembungan selama ini adalah antara puak Islam dan regim sedangkan golongan lain tidak berani memilih sokongan dan mengambil sikap berdiam diri.

Mode pertembungan yang dibentuk selama ini kini telah berubah apabila golongan selain Islamis kini telah membuat pilihan untuk menentang regim Mubarak , soalnya sekarang bagaimana Ikhwan menyesuaikan dirinya dengan permainan yang berbeza kin? Apakah terkalihnya golongan selain Islamis menentang Mubarak satu keistemewaan bagi Ikhwan ataukah Ikhwan terpaksa berhadapan pula dengan golongan-golongan ini?

MENASIONALKAN GOLONGAN ISLAM

Pertembungan selama ini bukanlah sangat pertembungan pemikiran, walaupun Mubarak cuba menghidupkan sentimen bahayanya puak Islam jika menguasai negara. Tetapi lebih besar daripada itu ia tentang kezaliman, menyekat kebebasan, keganan polis, salah guna aparatus pemerintah untuk kepentingan kroni dan rasuah yang berleluasa. Semua pihak sudah muak dengan semua gejala ini sehingga mereka tidak lagi mengambil kira perbezaan pemikiran sebagai halangan, malah sanggup berganding bahu merentasi aliran pemikiran menuntut berakhirnya regim diktator ini.

Ikhwan kini berhadapan dengan bentuk baru politik, walaupun bagi sesetengah pihak mereka masih skeptikal terhadap Ikhwan untuk mengisi ruang kosong ini setelah 83 tahun berjuang di bumi Mesir tetapi tidak ada mana pihak menafikan perjuangan konsisten dan tersusun Ikhwan.

Pilihan yang ada bagi Ikhwan dan golongan Islam untuk menyertai kebangkitan ini ialah dengan menasionalkan diri mereka menjadi sebahagian daripada lanskap baru politik. Mesej kebangkitan amat jelas bahawa rakyat Mesir tidak peduli siapa yang akan mengisi ruang setelah pemergian Mubarak dan konco-konconya, yang penting mereka mahukan pembelaan dan tercapai hasrat mahukan ruang kebebasan dan demokrasi.

Ia bukan lagi soal format dan bentuk apa negara yang mahu dibentuk setelah Mubarak, Mesir akan kekal Republik cumanya isi dan intipatinya mestilah berbeza dari dulu untuk memberi makna kepada kebangkitan rakyat Mesir yang sudah masuk hari yang ke 12.

ERTI MENASIONALKAN GERAKAN ISLAM

Jambatan yang menyambong antara idealism perjuangan Gerakan Islam dan denyutan nadi kebangkitan rakyat ialah sifat nasionalistiknya yang menjadikan ia dekat di hati bangsa yang tempatnya beroperasi.

Gerakan Islam yang selama ini ditindas oleh regim di dunia Arab senantiasa melihat kerajaan dengan penuh prejudis kerana kezaliman yang berlaku ke atas mereka. Penulisan yang lahir dari penindasan ini kadangkali memisahkan Gerakan Islam dengan bangsanya.

Bukan salah Gerakan Islam kerana mereka memerlukan kekuatan idealismnya untuk bertahan dalam suasana ini, tetapi kini aturcara permainannya berubah dengan berubahnya sedikit ruang bernafas dalam demokrasi yang ada.

Apatah lagi kebangkitan tuntutan demokrasi hari ini di Mesir menuntut Gerakan Islam di sana melihat dirinya sebagai pemain utama dan bukan lagi sebagai golongan yang tertindas! Apakah kadar kepercayaan rakyat berbagai latarbelakang dan ideologi yang disandarkan kepada Gerakan Islam? Ini bukan soal Gerakan Islam mahu dirinya dibela tetapi lebih penting ialah kini dia berperanan membela untuk mewujudkan suasana keterbukaan untuk rakyat dan bangsanya.

Jikalau bertanya kepada saya kadar kepercayaan itu, jawapannya ialah karakter nasionalistiknya yang menjadi gam penambat antara idealis alamiyahnya dengan realiti kerangka bangsanya. Hanya dengan cara ini Gerakan Islam akan mendapat sokongan padu dri berbagai aliran secular mahupun liberal. Mereka mungkin berbeza pandangan tetapi ikatan nasionalistik mereka akan menjadi penambat untuk melihat isu besar yang boleh mereka garap bersama.

MUBARAK AKAN PERTAHAN

Hari-hari berikutnya di Mesir tidak akan melalui jalan mudah, apatah lagi Mubarak bersumpah untuk mati di bumi Mesir sebagai tanda pengorbanan yang dia berikan selama ini kepada negaranya. Mubarak bukan calang orang, dia menaiki tangga kekuasaan mengikut susunan kenaikan pangkat.

Nasib menyebelahinya apabila dilantik Naib Presiden kepada Anwar Sadat dan semasa pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981, bintang Hosni Mubarak terus bersinar sehinggalah 30 tahun kemudian. Hari ini rakyat Mesir mengatakan cukuplah dan berambus dari sini.

Bukan mudah untuk pemimpin seperti Mubarak untuk menyerah kalah, setakat ini tentera belum menunjukkan reaksi agresif menentang penunjuk perasaan, keadaan mungkin akan berlaku sebaliknya.

Kedua , Hosni tidak akan melepaskan peluang untuk menimbulkan huru hara berskala besar dengan menjadikan Ikhwan sebagai sasarannya untuk menaikkan sentimen kemarahan rakyat dan memberi amaran bahayanya puak Islam akan mengambil alih negara.

Namun momentum rakyat minggu kedua nampaknya tidak surut dan mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan apa juga mainan dan taktik regim Mubarak yang terdesak. Walaupun Jumaat lalu Ikhwan berunding dnegan Omar Sulaiman, Naib Presiden yang ditiadakan jawatannya sejak 30 tahun yang lalu, namun ketegasan supaya syarat asas Mubarak letak jawatan dulu sebelum rundingan menyebabkan tiada apa yang baru dalam usaha perundingan terakhir ini. Tetapi apa yang menarik ialah Ikhwan yang selama ini dianggap pertubuhan haram menjadi kumpulan pertama diajak berunding oleh regim Mubarak.

KEUTAMAAN DAN HALATUJU

Apa yang lebih penting sekarang ialah menjayakan misi penunjuk perasaan iaitu menggulingkan dahulu Mubarak. Kedua, kebangkitan rakyat mesti tidak dicemari dengan perpecahan sesama golongan penentang Regim kerana kerapuhan ini memberi ruang kepada regim untuk terus menguasai keadaan. Ketiga, keseluruhan rakyat Mesir mesti diyakinkan bahawa kebangkitan ini adalah untuk mereka dan bukan kepentingan mana-mana kumpulan mahupun Ikhwan sendiri dan akhirnya satu bentuk konsensus kepada siapakah yang mewakili penentangan ini adalah penting supaya kebangkitan rakyat ini tidak tersasar dari tujuan asalnya.

Namun apa yang lebih utama ialah melakarkan halatuju pasca kejatuhan Mubarak, apa akan terjadi, bagaimanakah peta baru yang akan dilakarkan kea rah demokrasi berpilihanraya, demokrasi berparlimen, kebebasan media, pemulihan institusi kepolisian, pelan memerangi rasuah dan lebih penting ialah pembelaan terhadap kemiskinan yang menular di Mesir.

Keseimbangan antara pemulihan dan kesan jangkamasa transformasi kepada perubahan regim melibatkan kepedulian berbagai aspek antaranya keselamatan, pemulihan ekonomi, trauma kebebasan setelah dikongkong begitu lama dan peranan kepimpinan transformasi bagi memudahcarakan transisi ini. Sehingga kestabilan benar-benar muncul , Mesir mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.

Dan sementara penganalisis dan penulis membuat andaian-andaian apa akan terjadi kepada Mesir, jangan hendaknya kita lupa negara kita Malaysia juga perlu kebangkitan rakyat kerana simpton penyakitnya lebih kurang sama sahaja, bayangkan jika beratus ribu keluar ke jalanraya melaungkan “Undur, undur, undur BN, maju, maju, maju PR” apakah agaknya reaksi regim BN?

---------------------------------------------------------------------------

Dr Mujahid Yosof adalah anggota Parlimen Parit Buntar. Beliau merupakan anak bekas Mursyidul Am pertama PAS, Tuan Haji Yusof Rawa. Mujahid adalah AJK PAS Pusat yang mempengerusikan Lajnah Hubungan Antara Kaum. Ijazah pertama beliau di Universiti Al Azhar di Mesir, Master di UPM dan PhD di Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

QUNChi?

agama (49) al quran (18) arab (21) artis (49) bahasa (32) blog (23) bollywood (17) ceghita dia (38) doa (14) donia (61) drama (31) ekonomi (26) fashion (17) Food (1) Formula One (32) hadith (12) hollywood (42) horor (13) humor (28) indonesia (50) israel (13) JJCM (5) kahwin (31) Ke Luar Jendela (32) komunis (6) malaysia (148) medic (25) mind n soul (149) motivasi (25) motokar (32) movie (82) myself (77) palestin (10) politic (59) proton (20) puisi (48) radio (9) resepi (7) Rothschild (5) sejarah pemikiran (24) student (96) swedish (3) US (39) vampire (6) zodiac (5)