Kepada semua pemilik kereta Proton Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan dari tahun 2004 sehingga 2008, dimaklumkan bahawa Proton telah memanggil semula semua unit kereta tersebut untuk pemeriksaan dan pembaikan. Kerosakan yang dikesan melibatkan komponen ‘clock spring’ yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, komponen terbabit menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada peralatan seperti radio, hon dan kawalan ‘cruise’.
Kerosakan pada ‘clock spring’ menyebabkan bunyi geseran dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang sendiri, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes lebih serius boleh menyebabkan pelepasan beg udara di bahagian pemandu. Panggilan semula unit kereta tersebut dilakukan secara sukarela dan ianya adalah sebahagian daripada jaminan kualiti global PROTON membabitkan 15,911 unit atau dua peratus daripada 660,000 unit kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh berkenaan.
Semua kos pembaikan kerosakan tersebut di mana-mana pusat servis Proton yang sah adalah percuma dan tidak akan dikenakan sebarang cas. Proton menasihati semua pemilik kenderaan yang terbabit supaya membuat temujanji bagi mendapatkan pemeriksaan secara percuma. Selain itu, Proton juga akan menghantar surat kepada pelanggan yang terbabit untuk memaklumkan mereka mengenai perkara itu. Pada masa yang sama, Proton telah mewujudkan laman web khusus, www.protonaftersales.com untuk membantu pelanggan menyemak tahun pengeluaran kenderaan masing-masing.
Dalam satu kenyataan semalam, Syed Zainal bagi pihak Proton berkata meskipun bilangan kenderaan yang terbabit adalah kecil, keselamatan pelanggan adalah sangat penting dan mereka memohon maaf berikutan masalah yang berlaku. Beliau berharap pelanggan memahami bahawa panggilan semula itu perlu untuk memastikan keyakinan berterusan terhadap keselamatan dan prestasi kenderaan keluaran mereka.
Sumber : Disunting daripada Berita Harian, 8 Oktober 2010
SRi : Nampaknya Proton juga tidak terlepas dari masalah kerosakan kenderaan mereka. Sebelum ini dunia automotif dikejutkan dengan masalah kenderaan buatan Toyota di Amerika Syarikat yang melibatkan panggilan balik atau ‘recall’ yang melibatkan jumlah kenderaan yang cukup besar. Kos yang ditanggung oleh Toyota untuk mengatasi masalah tersebut juga bukannya kecil, malah terpaksa menanggung impak kejatuhan imej yang teruk. Selepas itu banyak lagi syarikat automotif lain yang terpaksa memanggil semula kenderaan masing-masing akibat kerosakan yang dikesan.
Kepada Proton, saya mengucapkan tahniah kerana berani mengambil tindakan memanggil semula kenderaan yang terlibat. Proton pasti menanggung kos yang tinggi untuk pembaikan tersebut namun itulah harga yang perlu dibayar oleh Proton untuk mendapat kepercayaan pelanggan. Mungkin ini dasar baru Proton untuk membina keyakinan terhadap kenderaan keluaran mereka dan dasar tersebut amatlah dialu-alukan. Bukan mudah untuk membina kepercayaan dan kesetiaan pelanggan, namun tindakan Proton kali ini adalah bijak.
Tidak guna menyembunyikan masalah yang berlaku jika keselamatan pelanggan menjadi taruhan. Saya sukakan perkataan ‘panggilan balik’ atau ‘recall’ yang digunakan Proton, ini membuktikan Proton telus dalam memberitahu rakyat Malaysia dan pelanggan tentang apa yang berlaku. Kepada semua pemilik Proton Gen2 dan Satria Neo yang terlibat, sila ke pusat servis Proton dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan dan pembaikan percuma, cas tidak dikenakan.
No comments:
Post a Comment