Ada anak berusia di antara 14 dan 17 tahun? Masih perawan--belum beranak? Ada adik yang berusia sama tak? Saudara mara?
Jika jawaban anda 'YA', anda WAJIB membaca tampalan ini. Jika 'tidak' namun berhasrat menambah ilmu pengetahun berhubung fakta menakutkan, sila teruskan pembacaan.
Mengikut statistik tercatat di laman web Pasukan Polis Di Raja Malaysia, 1,701 orang dilaporkan hilang tahun lalu. Hanya 44% ditemui kembali, selebihnya 966 lagi masih hilang.
Di antara Januari 2007 dan Mei 2010, 7,132 dilaporkan hilang, hanya 51% daripada mereka ditemui semula, selebihnya, 49% lagi, only God knows where they are.
49% bersamaan 3,479, samada mereka hidup atau mati, tiada siapa tahu.
Menurut laporan akhbar Kosmo!, remaja perempuan Melayu mencatat statistik kes kehilangan tertinggi dan majoriti mereka dilaporkan hilang, remaja berusia di antara 14 dan 17 tahun.
Fakta menakutkan, 99% remaja perempuan menghilangkan diri dipercayai kerana mengikut teman lelaki.
Hairan?
Tidak bagi saya. Jika perempuan dewasa dengan mudah saja terpedaya akibat pujukan lelaki, ini kan pula mereka masih remaja--kecil tak berapa nak berotak lagi.
"Tolonglah Anies, balik lah, mak dan ayah tak kan marah Anies lagi kalau Anies balik. Kami sayangkan Anies, lupakan lah apa dah berlaku. Ambil yang jernih buang yang keruh"
Ditambah lagi dengan kenyataan lebih klise ...
"Ayah Anies sakit, dia terlalu rindukan Anies, mak merayu, Anies balik lah"
Itu antara kenyataan berbentuk rayuan lazimnya diungkapkan ibu di kaca televisyen, memohon anaknya kembali ke pangkuan keluarga.
Ya! Sebilangan anak perempuan melarikan diri 'termakan' dengan rayuan seumpama itu. Hati mereka mudah remuk dan tersentuh mendengar kenyataan memilukan terutama jika diluahkan ibu.
Namun tidak semua kes berkesudahan dengan kisah gembira.
"Sayang duduk di rumah pun macam neraka, ibu asyik berleter siang malam, semua sayang buat, semua tak kena. Di sini dengan abang, sayang bebas, buatlah apa sayang nak buat. Lagi pun sayang tau kan abang memang sayangkan Anies. I love you.
Abang dah tak sanggup tengok sayang berhimpit-himpit di rumah macam sardin. Ayah sayang punyalah garang, salah sikit menengking, pukul. Abang pun lelaki tetapi tak akan buat sayang macam itu, abang janji. Biarpun abang kerja kilang, abang mampu menanggung sayang, jangan risau. Kita susah senang bersama, kini dan selamanya"
Akuilah, kekadang ayat lelaki sebegitu sudah cukup menutup rapat pintu hati remaja perempuan untuk tidak kembali ke pangkuan keluarga.
Tahun 2000, 828 daripada 5,137 mereka dilaporkan hilang kerana mengikut kekasih.
Memang selalu, ada antara kita berkata ...
"Emak marah, pukul kau bukan kerana emak benci tetapi sebab emak sayang"
Hemat saya, kenyataan itu lebih 'laku' 30 tahun lalu, tidak kini.
Usah terlalu yakin, biarpun anak diberikan pendidikan agama dan segala keperluan sekalipun, mereka tetap berkebarangkalian untuk melarikan diri.
806 daripada 4,939 dilaporkan hilang pada tahun 2003 dipercayai akibat pengaruh rakan rapat.
Cuba ajukan soalan cepu emas berikut kepada anak berusia di antara 14 dan 17 tahun biarpun tidak benar, hanya bertujuan melihat kecenderungan pilihan mereka.
"Hujung minggu ini, ayah dengan emak nak pergi majlis kenduri kahwin. Kamu nak ikut sekali ke atau nak keluar dengan kawan-kawan?"
Tanya sekarang, jika mereka berada di kawasan berhampiran. Jika tiada, saya tunggu ...
***